Sunday 2 October 2016

BBK3410: MEKARNYA MAWAR PUTIH



Salam Maal Hijrah,

Pada entri yang lepas, saya telah menceritakan perjalanan rumit saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk menemu bual seorang pengarang atau sasterawan negara. Namun, Alhamdulillah ke Hadrat Illahi, kami berpeluang untuk menemu bual penyair yang berasal dari Muar, Johor iaitu Dr. Samsina Haji Abdul Rahman atau nama penanya, Anismas AR (atau juga dikenali sebagai Mawar Putih suatu ketika dahulu).

Jadi, sudah tentulah anda tahu mengapa entri ini berjudul Mekarnya Mawar Putih. Pertemuan indah kami bermula jam 10 pagi di hari yang mulia, 1 Muharram. Sejujurnya, saya amat berdebar untuk menemui Dr. Samsina. Biasalah, tak kenal maka tak cinta. Dah kenal, rindu pula. Kami disambut baik oleh beliau dan suami. Pada mulanya, saya dan kawan-kawan memegang erat pen dan kertas untuk menulis semua perkataan yang akan dikeluarkan oleh beliau.

Tak disangka, di dalam tempoh menemu bual, Dr lah yang banyak membuat lawak dan membuat kami berasa selesa bersama beliau. Beliau telah menunjukkan kami gambar cucunya, Siti Khadijah. Siti Khadijah berusia 1 tahun hari ini, selamat hari lahir Siti Khadijah! Beliau menunjukkan gambar-gambar percutian beliau dan suami di Sarawak dan banyak lagi. Beliau membawa kami sekeliling rumah untuk melihat ikan-ikan talapia, pokok-pokok dan bunga-bunga yang banyak memberikan beliau sumber inspirasi untuk menulis puisi.

Selama 2-3 jam bersama Dr Samsina, beliau banyak memberikan kami semangat dengan menceritakan kisah kehidupan beliau yang banyak mengajar kami erti kehidupan. Ketika sedang berada di dalam kesakitan yang teramat, sukar untuk saya gambarkan mendengar cerita yang datang dari mulut beliau, beliau masih boleh memegang pen dan buku untuk menulis puisi. Allah, itu sahaja perkataan yang keluar di minda saya.

Dr Samsina, saya doakan Dr cepat sembuh. Saya doakan Dr akan terbitkan buku terbaru Dr. Terima kasih kerana memberikan kami peluang untuk bertemu Dr. Terima kasih kerana menghidangkan strawberi dan langsat kepada kami. Terima kasih kerana membuka pintu hati saya untuk mencintai sastera.

Terima kasih,
Alia Izzati

No comments:

Post a Comment