Monday 19 December 2016


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Lama saya memandang komputer riba, lama juga saya berfikir untuk menulis apa pada ruangan kali ini. Sesungguhnya, berat juga hati ingin menulis entri untuk kali terakhir. Berat hati ingin luahkan betapa rindunya pada kelas Penglahiran Bakat Kreatif.

Dr. Kamariah, walaupun ramai berkata Dr tegas, Dr melayan kami seperti anak-anak sendiri, mendidik kami untuk terus berjuang dalam penulisan, khasnya sastera Melayu.

Saya tidak petah untuk meluahkan perasaan saya namun, saya menghargai segala saat yang saya luangkan bersama rakan-rakan sekelas. Sedar atau tidak, mungkin ini kali terakhir untuk kami sekelas bersama. Selepas ini, kita berpisah mengikut aliran masing-masing. Kewartawanan, Penyiaran, dan sebagainya. Ada juga segelintir daripada kursus Sastera Bahasa Inggeris.

Penglahiran Bakat Kreatif, memberikan saya 1001 pengalaman dan memori. Saya pergi ke Cheras bersama rakan-rakan untuk menemu bual seorang penyair. Saya dan rakan-rakan juga menulis kertas kerja sehingga lewat pagi pukul 4-5 pagi, tertidur di dalam bilik akademik kolej. Saya berhempas pula mengerah idea mengarang cerpen dan puisi yang juga dibantu oleh rakan-rakan saya.

Mungkin di masa akan datang, saya lebih menguasai sastera Melayu. Terima kasih kerana memberikan markah yang pada saya, tidak lah selayak mana kerana yang menilainya, ialah seorang yang amat pakar dalam penulisan cerpen. Kan?

Penglahiran Bakat Kreatif, paling saya tidak akan lupa, pementasan yang kami cuba menyahut cabaran Dr. Biarpun, 2 minggu, kami berjaya. Pada mulanya, setiap seorang daripada kami merasakan kami takkan boleh buat sebaik mungkin. Kami tidak percaya pada diri sendiri. Terserah, menyerah.

Dr, terima kasih kerana memberikan kami cabaran untuk pementasan 'Oh Saat!". Jika tidak, saya tidak akan menangis menulis entri ini dek kerinduan melampau. Terima kasih kerana menyuruh kami membuat pementasan ini, jika tidak, mungkin tidak rapatlah ukhwah di antara kami. Ketika latihan, disitu lah saya mengenali rakan-rakan yang lain. Ketika latihan, di situlah kami makan bersama-sama nasi goreng pada pukul 10 malam ditemani nyamuk yang juga menghirup darah kehausan. Ketika latihan, di situlah terjalin silaturrahim di antara kami.

Terima kasih Dr,
terima kasih sahabat.

Sekian,
Alia Izzati



Aku mencari tempayan emas di kaki pelangi,
rupa-rupanya syurga kasih juga menanti di sini.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada entri kali ini saya ingin berkongsi pandangan saya tentang buku yang telah ditulis oleh pensyarah saya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr. Halis Azhan.

Syurga Kasih di Kaki Pelangi.

Erni Aflina, gadis anak angkat berhati tulus, hidupnya tidak pernah tenang kerana banyak liku-liku yang tidak terjangka terpaksa ditempuhi. Sejak kecil dia mengimpikan syurga kasih, sejak kecil juga dia mencari-cari tempayan emas di kaki pelangi. Segala-galanya tidak pernah indah buat Aflina. Sampai suatu masa, dia perlu minta diri. 

Izrar Hadafi, anak muda berhati luhur, hidupnya mewah tetapi tidak sarat dengan kasih sayang. Dia ingin menjadi Hang Jebat, dia akan membela apa-apa yang dirasakan benar. Segala-galanya tidak pernah elok di mata dan di hati Hadafi sehingga dia mengenali gadis itu. Namun, tidak mudah hendak mendekati dan memiliki hati Aflina.

Sepasang hati bertemu di hujung noktah. Titis-titis hujan menderu ketika fikiran keliru dan perasaan celaru. Siapa sangka di hujung jalan, Aflina menemui syurga kasih di kaki pelangi yang dicari-cari…

Ikutilah kisah pencarian gadis Erni Aflina yang mendebarkan ini.

Setiap manusia mempunyai minat yang berbeza-beza. Begitulah juga saya. Saya tidak gemar membaca novel, lebih tepat, yang fiksyen. Saya tidak gemar menonton televisyen, drama atau filem yang juga fiksyen. Saya seorang manusia yang lebih meminati sejarah, isu-isu terkini, cerita yang benar, ditulis atau diceritakan semula tentang kehidupan yang dialami seseorang.

Pada mulanya, memang beratlah hati ini untuk memulakan pengembaraan menyelami 296 helaian bercetak. Namun, saya tabahkan diri dan cuba untuk membaca. "Ya betul, Erni Aflina wujud. Izrar Hadafi juga wujud. Namun, saya tidak tahu mereka di mana."Sering kali, saya ingat kata-kata Dr. Halis bahawa watak-watak ini diadaptasi.

Ketika saya membaca novel ini, saya menyelami kehidupan seseorang. Betapa susah payahnya seseorang yang bernama Erni Aflina (bukan nama sebenar) hidup sebagai seorang anak angkat yang kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada kedua-dua ibu bapanya. Jujur saya katakan, novel ini mampu merefleksikan diri kita ketika mentelaah helaian. Betapa bersyukurnya saya, saya tidak ditempatkan di dalam kehidupan sebegini. Cukup makan, cukup pakaian. Itu sahaja yang saya fikir.

Di pengakhiran cerita, saya menitis air mata. Bukan apa, bukan disebabkan novel, bukan disebabkan plot peleraian. Namun, disebabkan saya juga ingin Erni Aflina yang sebenar hidup bahagia seperti di dalam plot peleraian. Saya ingin dia berhenti menanggung derita dan terseksa.

Erni Aflina, mungkin kau tidak akan mengetahui bahawa novel ini mengisahkan diri engkau tetapi saya harap semoga saudari tabah dalam kehidupan dan tidak terjerumus ke dunia kegelapan.

Sekian, terima kasih.
Alia Izzati

Sunday 4 December 2016




Salam,

Pada entri kali ini saya akan menceritakan serba sedikit apa yang telah saya perolehi daripada pertukaran kelas beberapa minggu yang lepas.

Pada minggu ke 11, Dr. Halis Azhan telah mengajar kelas kami dan kami didedahkan dengan sedikit sebanyak pengetahuan tentang novel. Dr. Halis Azhan juga menerangkan tentang sinopsis bukunya, Syurga Kasih di Kaki Pelangi. Kemudian, mengaitkan watak-watak, perwatakan mereka dan plot novel tersebut.

Beliau menerangkan tentang langkah-langkah penulisan. Antaranya ialah tentang 10 langkah penulisan menulis novel:

1. Memahami tujuan manuskrip novel remaja digarap
2. Mengenalpasti isu atau persoalan yang dapat dikaitkan dengan remaja
3. Mengenalpasti perubahan-perubahan yang berlaku di luar teks
4. Mengetahui struktur tema yang dipilih dapat dikatikan dengan remaja
5. Mengenali latar yang dipilih seperti masa, tempat dan kumpulan masyarakat
6. Mengenalpasti watak dan perwatakan remaja yang dihadirkan
7. Memahami sudut pandangan yang dipilih seperti siapa dan bagaimana
8. Mengenalpasti plot dan subplot yang dihadirkan
9. Mengetahui laras bahasa yang sesuai dalam aspirasi remaja dalam novel
10. Mengasosialkan nilai-nilai sosial yang sesuai dengan aspirasi remaja dalam novel

Kelas selama 3 jam itu digunakan sebaik mungkin oleh Dr. Halis bagi menerangkan tentang novel ini. Saya amat terkejut apabila mengetahui bahawa Dr, juga merupakan pelajar Asasi TESL UiTM suatu ketika dahulu. Saya kagum dengan pengetahuan bahasa Melayu nya yang tinggi.

Di akhir kelas Dr, Dr menceritakan tentang bagaimana beliau mendapat sumber inspirasi untuk menulis novel ini. Saya tidak akan melupakan apa yang diceritakan beliau. Saya harap Dr. dapat berjumpa dengan perempuan itu yang telah beliau memberikan impiannya tercapai walaupun hanya dalam sebuah penulisan.

Sekian,
Alia Izzati




Salam,

Hampir 5 minit saya menatap komputer riba, tidak tahu ingin menulis apa pada entri kali ini. Disebabkan kriteria entri yang terbatas, saya kehilangan idea pada minggu ini. Setiap kali saya ingin tulis entri, saya akan kehilangan segala idea kerana saya tidak mahir untuk menulis di dalam Bahasa Melayu. Namun, saya ingin cuba dan saya amat tertarik untuk menulis travelog perjalanan.

Travelog ini bukan sebarang travelog. Travelog ini merangkumi segala detik kehidupan saya setelah saya melangkah masuk Universiti Putra Malaysia yang terletak di Serdang.

31 Ogos 2016

Tarikh yang begitu bersejarah dalam hidup saya kerana saya memulakan kehidupan baru sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda. Ingat lagi, saya membuka mata bangun daripada tidur, mengeluh. Bayangkan, rakyat jelata menyambut kemerdekaan di luar sana begitu gembira, pelajar sekolah keriangan bercuti. Namun, saya harus memasuki universiti baru.

Saya tinggal di Bukit Jalil yang terletak dekat sahaja dengan UPM. Kami sekeluarga bertolak awal sebab saya sudahpun berjanji dengan dua rakan saya iaitu Ying dan Hareith untuk bertemu (Mana tahu dapat bilik yang sama, kecuali Hareith). Sesudah sampai, saya sesat mencari Ying yang tidak kelihatan. Dia memanggil saya dari jauh di pagar Kolej 14. Saya berlari kearahnya, memeluk kerinduan. 3 bulan lebih kami tidak bertemu sejak meninggalkan Asasi TESL di UiTM Dengkil.

Seperti biasa kami pun mendaftar dan menjadi pelajar rasmi UPM. Orientasi bermula.

Sekitar September 2016

Kehidupan saya banyak berubah sejak masuk UPM. Namun, saya kuatkan diri untuk mengharungi segala dugaan yang saya hadapi. Saya juga bersyukur sebab ada kawan seperti Ying yang sentiasa berada di sisi saya ketika saya susah dan senang.

Semasa orientasi, saya mengenali dua lagi kawan saya iaitu Diana dan Izaz! Saya kenal Izaz setelah balik daripada latihan ikrar pelajar, Keletihan, saya memasuki Dewan PJSD dan Izaz sedang bersembang dengan Ying. Ying memperkenalkan Izaz dan terus pada masa itu saya rasa gembira mempunyai rakan baru. Izaz! (Saya terkejut dia bukan 19 tahun)

Hari seterusnya, kami harus pergi ke Padang Kawad untuk perlawanan sorak. Di situ, perjalanan persahabatan saya dengan Diana bermula.

Tujuan saya ceritakan semua ini adalah untuk mengabadikan nama-nama mereka di dalam entri saya kerana saya rasa mereka adalah amat penting dalam hidup saya.

Sekitar Kuliah Bermula

Jujur saya katakan, saya amat rindu akan minggu orientasi. Kami hanya gelak tawa sahaja ketika itu. Saya rasa susah dan letih apabila kuliah bermula, mungkin saya tidak pandai lagi menyesuaikan diri saya dengan kehidupan baru.

Sekian,
Alia Izzati




Thursday 24 November 2016



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Entri kali ini akan saya sentuhkan tentang isu semasa yang sedang hangat diperkatakan iaitu Ujian Pencapian Sekolah Rendah (UPSR).

Apakah itu UPSR?
Barangkali ramai sedia maklum bahawa UPSR merupakan ujian kognitif yang harus pelajar berumur 12 tahun atau Darjah 6 ambil sebelum meninggalkan sekolah rendah.

Ketika zaman saya mengambil UPSR, ujian ini hanya terdapat 5 subjek iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains. Namun, mulai 2016, soalan-soalan UPSR mempunyai soalan yang melibatkan KBAT iaitu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi atau HOTS, High Order Thinking Skills.

Baru-baru ini adik saya baru sahaja menerima keputusan UPSR dan dia telah mendapat 4A 2B. Sebagai seorang kakak, sudah tentulah saya bangga dengan pencapaiannya. Namun, terdapat ramai ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan anak-anak mereka.
Keputusan pelajar semua A UPSR:
2014: 36, 304
2015: 38, 344
2016: 4896

Persoalannya, wajarkah UPSR dimansuhkan?

Pada pendapat saya, UPSR tidak seharusnya dimansukan kerana formatnya sudah cukup bagus untuk melatih rakyat Malaysia berfikiran aras tinggi.

Sekian,
Alia Izzati



Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Entri kali ini akan saya ceritakan serba sedikit tentang baju kurung kegemaran saya, baju kebarung.

Baju kebarung dikatakan gabungan daripada baju kebaya dan baju kurung. Baju-baju yang disebutkan ini merupakan baju tradisional kaum Melayu.

Disuntik daripada artikel seorang penulis, Roslah Othman,
"Pensyarah Dalam Bidang Seni Reka Tekstil di Jabatan Seni dan Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Dr. Norwani Md. Nawawi ketika memperkatakan tentang baju kebarung ini mengakui pada awal tahun 1990-an, baju belah atau baju labuh yang gelobor muncul semula sebagai pakaian yang amat digemari oleh wanita Melayu.
Namun demikian, baju ini telah mendapat nama baru, iaitu baju kebarung yang merupakan gabungan singkatan perkataan baju kebaya dan baju kurung."

Saya amat menyukai baju kebarung kerana ia tidak ketat mahupun longgar. Disebabkan ketinggian saya tidaklah begitu tinggi, baju kebarung ini dapat memberikan ilusi 'tinggi' ketika saya memaikainya. Pada pendapat saya, baju kebarung sesuai dipakai oleh pelbagai peringkat usia (atau saiz kerana itu sahajalah yang berada di fikiran seorang wanita).

Jika anda ingin memakai baju tradisional Melayu namun tidak mahu nampak kebiasaan dengan memakai baju kurung, cubalah baju kebarung!

Sekian,
Alia Izzati

Thursday 27 October 2016



Salam dan selamat sejahtera,

Kita semua sedia maklum bahawa beberapa hari lepas telah berlakunya kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terletak di Bangunan Induk, Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan, 80100 Johor Bahru, Johor. Hospital kerajaan ini merupakan hospital paling terbesar di Johor.

3 hari yang lalu, wad kecemasan di HSA telah dijilat api yang menyebabkan 6 pesakit maut dalam kebakaran.

Berita ini amat menyedihkan semua rakyat Malaysia dan saya percaya setiap individu merasa amat simpati kepada mangsa dan keluarga mangsa.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul"

Ketika saya sedang beristirehat, saya melayari internet dan juga menteliti media sosial. Saya terjumpa beberapa berita gembira dan saya amat terharu. Antaranya ialah, Sultan Johor membenarkan mangsa-mangsa untuk ditempatkan di wad diraja. Seterusnya, hotel-hotel di Johor juga menawarkan bilik percuma kepada mangsa-mangsa kebakaran HSA.

Inilah perkara yang wajar dan amat saya banggakan sebagai seorang Malaysia kerana walaupun berbilang bangsa dan kaum, berbilang agama dan pendapat, akhirnya kita mampu bersatu dalam apa jua keadaan!

Sekian,
Alia Izzati



Salam dan selamat sejahtera,

Bagi entri kali ini saya akan memberikan pandangan saya terhadap dunia kesusasteraan melayu mutakhir.

Berdasarkan kajian saya, sastera melayu terbahagi kepada beberapa pecahan iaitu sastera rakyat, sastera istana, sastera hikayat, sastera panji, sastera epik, sastera sejarah dan sebagainya. Antara karya sastera melayu yang amat popular (dikenali) oleh remaja muda generasi kini ialah seperti Hikayat Nakhoda Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lain. Ini kerana, karya-karya ini dipelajari oleh pelajar ketika di zaman persekolahan.

Dalam abad ke 21 ini, tidak dapat dinafikan bahawa sastera melayu semakin ditelan arus dek permodenan teknologi.

Namun, sastera melayu dapat memberikan pelbagai mesej tersurat mahupun tersirat yang boleh dijadikan tauladan. Misalnya, Hikayat Muhammad Hanafiah menceritakan tentang kegagahan dan keperwiraan seseorang yang mampu dan telah menaikkan semangat askar-askar Tanah Melayu ketika itu.

Sastera melayu juga mampu memberikan kesan mendalam dan memberikan pembaca impak yang jelas tentang sesuatu penceritaan.

Sekian,
Alia Izzati

Tuesday 25 October 2016




Pada minggu lepas, saya diberikan tugas untuk membaca dan membawa sebuah cerpen ke kelas untuk dikongsikan bersama rakan-rakan saya.

Di zaman ini, segala informasi terletak di hujung jari. Saya pun melayari internet dan tertarik dengan sebuah cerpen karya Amirul Syafiq. Pada pandangan saya, saya amat suka tajuk yang mempunyai satu perkataan. Cerpen ini bertajuk Sesalan.

Jam di dinding menunjukkan pukul 8 malam. Hakim masih berdiri kaku di hadapan ayahnya. Dia tak pasti apakah hukuman yang bakal diterima nanti. Matanya tertunduk kaku melihat wajah ayah yang seperti singa lapar mahu membahamnya. Emak di suatu sudut ruang tamu sedang berborak dengan kakaknya yang baru pulang dari Korea. Kakaknya, Azzah baru sahaja menamatkan pengajian sarjana kejuruteraan dari Universiti of Soul, Korea. Abang sulungya, Syamil, pula seorang penyelidik di sebuah ipta penyelidikan dalam negara. Untuk menjadi seperti mereka adalah suatu cabaran yang besar buat jejaka tinggi lampai itu.
“ Sekarang kau bagitahu ayah, kenapa keputusan PMR kau merosot sangat?”, gertak ayah penuh tegas dengan nada suara agak tinggi.
“ Mana Hakim tau ayah..bukannya Hakim tak…”, jawab Hakim. Belum sempat dia meneruskan kata-kata, penampar hinggap di pipinya. Pap! Bunyi penampar kuat dari tangan kanan ayah.
“ Anak jenis apa kau ni! Kau nak jadi apa?! Abang kakak kau semua berjaya!”, jerkah ayah di hadapan muka Hakim. Sememangnya ayah mahu keluarga itu terus disanjung atas pencapaian akademik anak-anak. Tidak kira apa sekalipun, anak-anaknya mesti cemerlang dalam setiap peperiksaan. Itulah perkara yang selalu diterapkan oleh ayah sejak mereka semua kecil.
“ Itu lah bang. Manjakan sangat budak tu. Itulah jadinya”, balas emak seolah ingin menambah api kemarahan ayah.Berdesing telinga ayah mendengar kata-kata perli daripada emak kerana dia pula menjadi mangsa kegagalan anak bongsu mereka.
“ Salah aku ke ? Aku penat berhabis duit hantar dia pergi ke tuisyen. Tapi kau tengok la sendiri sikap dia. Malas belajar “, jawab ayah memandang muka emak dengan wajah merah padam.Ayah yang belum reda perasaan marahnya bingkas menuju ke arah Hakim.
“ Anak tak guna! Mari sini kau!”, jerit ayah ke arah Hakim lalu merentap rambut Hakim dengan kuat. Berderap jatuh tubuh kurus Hakim ke atas lantai seperti nangka busuk. Mulut Hakim terkumat-kamit menahan sakit pedih di badannya. Hakim menahan kesakitan rambutnya direntap. Malah, sesekali tubuhnya diseret dan dicampak seperti seekor kucing lagak gayanya. Terpelanting si anak malang itu di dinding.
“ Ayah jangan ayah! Tolong jangan buat Hakim macam tu”, pinta Azzah penuh linangan air mata. Hatinya dihimpit sayu dan gerun melihat kelakuan baran ayah itu.
Panas juga hati kecil Hakim apabila menerima pukulan-pukulan daripada ayah. Bukannya dia tidak pernah menyumbang kejayaan dalam keluarga “elit” itu. Pencapaian semasa sekolah rendahnya sangat cemerlang dan tidak pernah jatuh daripada kedudukan no.1 dalam kelas. Malah, keputusan 5A dalam UPSRnya menjadi tiket baginya memasuki Sekolah Tunku Abdul Rahman di Ipoh.
“ Semua orang penah jatuh ayah! Sapa je tak penah jatuh ! Abang pernah jatuh. Kak Azah pun pernah juga gagal dulu”, Hakim mula meninggikan suara kerana hilang sabar dengan perlakuan ayah itu.
Tindakan ayah agak melampau kerana membelasahnya sedemikian rupa hanya kerana keputusan 2A sahaja dalam PMR. Tidak seperti keluarga lain yang hanya tersenyum redha dengan apapun keputusan anak-anak. Kali ini ayah benar-benar seperti orang gila yang dirasuk. Leher Hakim dicekak dan kepala Hakim dihentak kuat ke arah dinding berkali-kali.
“ Kau nak mati macam ni kan?”, jerkah ayah ke arah Hakim. Hakim tidak melawan kerana dia tahu padah yang bakal diterima jika melawan. Kepalanya pening berpinar akibat dihentak di dinding berkali-kali. Di satu sudut ruang tamu, emak hanya tersenyum manakala Azzah menangis teresak-esak melihat keadaan adik bongsunya itu didera sedemikian rupa. Dipandang wajah kakaknya dari jauh penuh lemah. Mata yang kian layu dan desah nafas yang tidak teratur pernafasannya. Nafasnya semakin lama semakin cungap
“ AYAH!”, jerit Azzah penuh kuat apabila melihat kepala Hakim sudah mengalir darah. Pap! Pandangan Hakim bertukar hitam. Gelap.
****
Sudah empat tahun peristiwa hitam itu berlaku. Sesekali tangan Hakim meraba-raba kesan benjol di kepalanya. “ Ahh.. sakit!”, dengus Hakim menahan kesakitan .
“ Siapapun pernah gagal juga. Albert Einstein pun pernah gagal dalam peperiksaan universitinya dulu”, Hakim bermonolog sendirian. Terima kasih pada kegagalan PMRnya masa lalu yang mengajarnya erti bangkit dan usaha keras. Kegagalan itu juga yang menyebabkan dia rajin belajar ketika mengharungi peperiksaan SPM. Hasilnya, dia mendapat straight A’s dalam SPM. Tradisi kerajinan itu diteruskan juga di peringkat persediaan asasi selama setahun itu. Setiap kali habis kuliah, dia akan berbasikal menuju ke perpustakaan untuk menelaah buku-buku di situ. Masa 3jamnya habis “ terbuang” dalam perpustakaan. Hampir kesemua buku di perpustakaan itu habis dibacanya. Kadangkala, fakta-fakta di buku itu sudah boleh dihafalnya tanpa menyelak halaman buku tersebut. Hakim digelar “ Einstein” kerana kepandaiannya menyelesaikan soalan-soalan fizik. Pernah juga dia menyelesaikan soalan Kuantum Fizik yang diajukan oleh para pensyarah kelasnya.
“ Hakim. Boleh tak kamu terangkan pada saya apakah teori jasad hitam ni?”, soal pensyarah kelasnya, Puan Hani yang sedang menyambung pendidikan sarjana Fizik di UKM. Hakim sentiasa menjadi rujukannya atau “ guru keduanya” untuk menjawab soalan-soalan assignment yang diberikan oleh profesor beliau.
“ Jasad hitam ni samalah seperti lohong hitam atau blackhole tu cikgu. Jasad hitam menyerap cahaya sama juga seperti lohong hitam. Apabila cahaya melalui lohong hitam, cahaya akan diserap oleh graviti kuat ”, jawab Hakim panjang lebar sambil memandang ke arah Puan Hani. Sesekali gaya tangannya digerakkan untuk memudahkan pemahaman dalam penerangannya.
“ Hahaha”, Hakim ketawa kecil sambil memandang waktu penerbangan tiket berlepas KLIA-Paris seawal jam 11 pagi esok di dalam dompetnya. Kadangkala dalam hidup ini ada peristiwa yang patut dikenang dan ada peristiwa yang patut ditendang. Malam itu Hakim mengemas barang keperluan dan dokumen penting untuk berdaftar di University of Strausbough nanti.Ayah dan emak sudah lena diulit mimpi selepas seharian menghabiskan masa pergi ke rumah kenduri saudaranya. Ditatapnya surat yang dikarang 4 tahun lalu selepas dia dibelasah teruk oleh ayah. Matanya dipejam rapat-rapat, tidak mahu memikirkan peristiwa pahit itu. Surat itu dilipat kemas disimpan di kiri poket penjuru bagasinya.
Tiba-tiba, Tup! Sebuah keychain kapal terbang Air France jatuh dari dompetnya sekaligus mematikan lamunannya tadi. “ Haishh. Kacau betul la orang nak mengelamun”, Hakim membebel sendirian.Keychain itulah pembakar “ semangat” kepada dirinya untuk pergi ke Perancis semasa belajar dalam asasi dahulu. Kelihatan gambar kapal Air France itu retak terbelah dua. Hakim sedikit kecewa melihat keretakan tersebut tapi dia tidak mempunyai masa untuk membeli keychain baru. Keychain retak itu dimasukkan semula di dalam dompet.
“ Barang pun sudah siap kemas. France wait for me!”, jerit hati Hakim penuh bersemangat. Badannya dilabuhkan ke atas katil. Pandangan matanya dialihkan ke arah siling bilik. Bercampur baur perasaan dalam hatinya : gembira, sedih, suka, duka, semuanya silih berganti sebelum merantau ke negara orang. Angan-anganya, mahu menikmati keindahan menara Eifel di hadapan mata kepalanya sendiri.
“Apa yang istimewa sangat menara “Romeo and Juliet” tu?,” Hakim bermonolog sendirian. Matanya semakin kedup dan terus terlelap. Dibawa sama angan-angan ke kota Paris nanti dalam mimpinya.
***
“Dah berjaya anak kita sorang tu kan bang”, puji emak sambil menyudukan makanan ke mulutnya. Harapan emak supanya anak “ kebanggaannya” akan menghabiskan pengajian di negara Eropah timur itu nanti. Ayah meneruskan meratah ayam goreng KFC seperti tidak endah dengan kata-kata emak. Mereka mengambil keputusan untuk menikmati hidangan di restoran sekitar kawasan KLIA sementara menanti flight KLIA-Paris akan berlepas nanti. Jam di tangan ayah sudah menunjukkan pukul 10.55 pagi.
“ Jom keluar tengok flight Hakim. Tinggal 5 minit je lagi. Risau tak sempat pula”, ajak ayah ingin segera bergegas ke pintu keluar.
“ Abang. Cuba abang baca surat anak kita kasi tu. Amboi! Belum sampai Paris lagi sudah kirimkan surat”, kata Emak memuncungkan bibir ke arah poket seluar ayah. Ayah membuka perlahan lembaran surat itu. Ditatapnya bait-bait kata dalam surat dan disambut dengan setiap butiran kata di bibirnya. Emak mendengar setiap kata-kata itu dengan penuh teliti.
“ Ke hadapan ayahanda dan bonda tercinta. Hakim sangat berterima kasih pada mak dan ayah sebab menjaga Hakim dari kecik sampai besar termasuk duit mak ayah laburkan untuk menghantar Hakim pergi ke kelas tambahan. Tapi usaha macam mana pun Hakim tetap tak boleh lawan kepandaian abang dan akak. Sebagai anak yang pemalas, Hakim minta maaf sebab Hakim gagal dalam PMR haritu sampai malu mak ayah nak keluar rumah kan? Hihihi . Sorry k? Kesan benjol yang ayah tempeleng tu melekat sampai sekarang. Sebulan Hakim duduk dalam ICU. Sebulan jugalah Hakim duduk dengan nurse comel dalam hospital dan karang surat ni. Mak ayah pun busy sampai takda masa nak lawat Hakim. Tapi takpe, Hakim sikitpun tak berdendam sebab Hakim tahu ayah marah sebab ayah sayangkan Hakim . Setiap kali duduk sorang atas katil hospital, Hakim teringat lagu yang ayah selalu nyanyikan kat Hakim masa kecil. Comel sangat ayah nyanyi . Hahaha. Kalau ayah ingat lagu dia macam ni :-
Kapal terbang, kapal terbang,
Tersangkut, tersangkut,
Masuk dalam lubang, Masuk dalam lubang,
Meletup, Meletup.
BAM! BAM! BAM! Gema letupan kuat bertalu-talu menggegar kawasan pintu pelepasan. Seperti gempa bumi bunyinya. Suasana di dalam ruang bangunan KLIA menjadi hiruk-pikuk dengan suara jeritan orang ramai. Ayah dan emak bergegas ke pintu keluar untuk melihat tragedi tergempar itu. Asap kelabu berkepul-kepul keluar dari badan kapal terbang berwarna biru putih. Ranap. Hancur. Musnah. Badan kapal terbang tersebut hangus dijilat api bersama para penumpang lain. Kebanyakan ahli keluarga dan sahabat handai yang melihat kejadian itu terkedu, terdiam dan tergamam. Tiada kata yang keluar dari mulut mereka. Semua tertanya-tanya keadaan yang sebenarnya berlaku. “ Tuan puan semua ! Perhatian! Tuan puan semua diminta bawa bertenang seketika! Pasukan keselamatan KLIA akan bergerak ke tempat kejadian”, ucap ketua pengawal KLIA kepada orang ramai. Setengah ahli keluarga penumpang sudah menjerit meratap kesedihan. Terdapat juga sekumpulan ahli pasukan keselamatan KLIA bersama pasukan polis imigresen gegas berlari ke kawasan nahas.
“ MasyaAllah!”. Mak mengucap panjang. Ayah panik. Diam seribu bahasa. “ Anak kita…”, ayah bersuara lemah memandang emak. Terkadang menitik air mata seorang ayah dari kelopak matanya. Terbayang wajah ceria dan senyuman Hakim dalam ingatan ayah. Anak bongsu yang selalu rajin menghulur bantuan apabila diperlukan. Anak itu juga yang selalu memberinya ubat semasa dia tidak berdaya untuk berjalan semasa demam. Tidak pernah merungut seperti anaknya yang lain. Tetapi, anak itulah yang selalu menjadi mangsa tempat melepaskan amarahnya. Entah mana silapnya anak itu. Air mata ayah tidak berhenti-henti mengalir deras sambil bibirnya menyebut, “ Hakim…”

Sumber: Penulisan2u

Mesej di dalam cerpen ini sangat bermakna disebabkan kecenderungan Hakim ingin belajar dan membuktikan kepada kedua ibu bapanya yang dia mampu menjadi setaraf adik beradiknya, namun setiap yang datang pasti akan kembali. Di pengakhiran cerpen, penulis menggambarkan Hakim sudah menghadap Illahi.

Sekian,
Alia Izzati

Saturday 8 October 2016



Salam,

Tugasan entri yang diberikan ialah untuk mempromosikan adat, budaya makanan atau permainan tradisi kaum masing-masing. Entri pada kali ini membawa sedikit kelainan kerana saya akan menyentuh tentang makanan.

Sudah tentulah, saya pilih makanan kerana makan merupakan hobi untuk mengisi masa lapang saya. Sebagai anak melayu sejati, saya amat gemar makan sambal belacan. Tidak lengkap sesuatu hidangan tanpa sambal belacan.

Resepi sambal belacan:
1. Cili besar
2. Cili padi
3. Tomato
4. Limau nipis
5. Belacan
6. Asam jawa
7. Garam
8. Gula

Sambal belacan ialah satu hidangan sampingan yang biasanya dimakan bersama ikan ataupun ulam. Memandangkan saya seorang vegetarian, saya gemar memakannya dengan ulam. Sambal belacan merupakan cili yang ditumbuk bersama belacan, garam dan sedikit gula. Sedikit sahaja! Sambal belacan juga boleh dicampurkan dengan tempoyak. Bagi mereka yang meminati sambal belacan pedas, cili padi, akan digunakan bagi menggantikan lada besar.

Sebagai kesimpulan, rasailah sambal belacan yang amat sinonim di kalangan melayu di Malaysia.

Sekian,
Alia Izzati

Sunday 2 October 2016



Salam Maal Hijrah,

Pada entri yang lepas, saya telah menceritakan perjalanan rumit saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk menemu bual seorang pengarang atau sasterawan negara. Namun, Alhamdulillah ke Hadrat Illahi, kami berpeluang untuk menemu bual penyair yang berasal dari Muar, Johor iaitu Dr. Samsina Haji Abdul Rahman atau nama penanya, Anismas AR (atau juga dikenali sebagai Mawar Putih suatu ketika dahulu).

Jadi, sudah tentulah anda tahu mengapa entri ini berjudul Mekarnya Mawar Putih. Pertemuan indah kami bermula jam 10 pagi di hari yang mulia, 1 Muharram. Sejujurnya, saya amat berdebar untuk menemui Dr. Samsina. Biasalah, tak kenal maka tak cinta. Dah kenal, rindu pula. Kami disambut baik oleh beliau dan suami. Pada mulanya, saya dan kawan-kawan memegang erat pen dan kertas untuk menulis semua perkataan yang akan dikeluarkan oleh beliau.

Tak disangka, di dalam tempoh menemu bual, Dr lah yang banyak membuat lawak dan membuat kami berasa selesa bersama beliau. Beliau telah menunjukkan kami gambar cucunya, Siti Khadijah. Siti Khadijah berusia 1 tahun hari ini, selamat hari lahir Siti Khadijah! Beliau menunjukkan gambar-gambar percutian beliau dan suami di Sarawak dan banyak lagi. Beliau membawa kami sekeliling rumah untuk melihat ikan-ikan talapia, pokok-pokok dan bunga-bunga yang banyak memberikan beliau sumber inspirasi untuk menulis puisi.

Selama 2-3 jam bersama Dr Samsina, beliau banyak memberikan kami semangat dengan menceritakan kisah kehidupan beliau yang banyak mengajar kami erti kehidupan. Ketika sedang berada di dalam kesakitan yang teramat, sukar untuk saya gambarkan mendengar cerita yang datang dari mulut beliau, beliau masih boleh memegang pen dan buku untuk menulis puisi. Allah, itu sahaja perkataan yang keluar di minda saya.

Dr Samsina, saya doakan Dr cepat sembuh. Saya doakan Dr akan terbitkan buku terbaru Dr. Terima kasih kerana memberikan kami peluang untuk bertemu Dr. Terima kasih kerana menghidangkan strawberi dan langsat kepada kami. Terima kasih kerana membuka pintu hati saya untuk mencintai sastera.

Terima kasih,
Alia Izzati

Friday 30 September 2016


Salam,

Pada semester ini, saya dikehendaki untuk membuat satu tugasan lapangan secara berkumpulan. Tugasan ini memerlukan kami untuk menemu bual seorang sasterawan negara. Pada mulanya, saya amat teruja untuk memulakan tugasan ini, besar peluang itu menemui sasterawan yang menyumbang bakti melalui karya penulisan yang amat bernilai.

Tetapi apakan daya, tidak ada jalan kehidupan yang tidak berliku. Kami telah mencuba sedaya upaya dengan mengubungi hampir berpeluh sasterawan negara dan juga pengarang, jumlahnya. Siang malam mencari cara untuk mengubungi mereka melalui nombor telefon dan juga emel.

Ada ketika, kami terasa penat, letih dan hampir mengalah apabila tidak dapat seorang pun untuk ditemu bual.

Namun, Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi, Pada 29 September 2016, Dr. Samsina Haji Abd. Rahman yang berasal dari Muar, Johor telah bersetuju untuk ditemu bual. Tidak dapat saya dan rakan rakan gambarkan betapa gembiranya kami, betapa leganya kami, betapa bahagianya kami.

Antara karya beliau iaitu Pelayaran (1985) dan Anggur Kehidupan (2002). Dr. Samsina Haji Abd. Rahman juga telah memenangi beberapa Hadiah Sastera dan Sayembara Penulisan Esei, Hadiah Darul Ta'zim serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Tidak sabar kami untuk berjumpa seorang pengarang yang amat berbakat dalam dunia penulisan sastera pada Ahad ini.

Sekian luahan saya,
Alia Izzati

Monday 26 September 2016




Salam sejahtera,

Hari ini saya akan cuba sebaik mungkin untuk mengulas buku yang telah saya baca ketika di peringkat Asasi. Untuk pengetahuan anda, saya merupakan pelajar Asasi TESL di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sedang melanjutkan pelajaran kepada Bacelor Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Buku ini merupakan karya sastera George Orwell, penulis buku terkenal yang berlatarkan pandangan beliau tentang isu-isu politik semasa ketika dulu. Animal Farm ialah salah satu contoh karya ekspresi dan pandangan pengarang/penulis terhadap lingkungan sosial. Buku ini ditulis ketika Perang Dunia ke 2 yang diterbitkan pada 17 Ogos 1945.

Animal Farm merupakan buku bertemakan satiris novel yang mengadaptasikan peristiwa ketika peperangan Uni Soviet. Kejadian di dalam buku hampir sama dengan kejadian yang berlaku di dunia sebenar ketika itu.

Buku nukilan George Orwell mengisahkan tentang sekumpulan haiwan yang menggulingkan kuasa manusia (penternak nya) di sebuah penternakan. Di dalam buku menceritakan bahawa para petani menindas haiwan lalu haiwan-haiwan tersebut mengendalikan penternakan mereka sendiri. 

Kesimpulannya, dengan membaca buku ini, kita dapat mengetahui sedikit kisah peperangan ketika dulu dan cara pemerintahan yang dapat dijadikan iktibar untuk dijadikan pengajaran bagi masa akan datang.

Terima kasih,
Alia Izzati

Tuesday 20 September 2016


Assalamualaikum pembuka bicara,

Nama subjek saya ini ialah Penglahiran Bakat Kreatif. Jadi, sudah tentulah saya ingatkan bahawa kelas ini akan mencungkil bakat-bakat terpendam kami yang pelbagai seperti bakat muzik, bakat seni tari dan sebagainya.

Ingat lagi ketika sedang berada di dalam bus, mencuba sebaik mungkin untuk seimbangkan badan, saya berkata kepada kawan saya, Di "I takda bakat, Di. Takutlah, kalau lecturer tanya, nak cakap apa ni?" Di hanya memandang saya dengan muka tenang kerana siapa sahaja yang tak tahu, Di pandai menyanyi, lunak merdu suaranya.

Alangkah terkejutnya kami apabila fokus kelas ini lebih kepada melahirkan bakat kreatif dalam bidang sastera. Pada mulanya, saya amat bimbang. Alahai, takutnya kalau tak lulus. Bukan apa, saya memang tidak mahir sastera. Ketika menjadi seorang pelajar Asasi TESL UiTM, sastera inggeris lah yang paling saya tidak gemari kerana saya tidak mampu menguasainya.

Namun, setiap kehidupan pasti ada cabarannya dan saya berazam untuk mendapatkan A dalam subjek ini. Saya ingin buktikan yang saya boleh. Saya boleh.

Ya, tidak lupa.....

Blog ini dicipta khas untuk saya mengeskspresikan perasaan cinta saya terhadap sastera melayu mahu pun inggeris. Di harap segala ulasan dapat diterima baik oleh anda, segala salah tutur kata ditegur oleh anda.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Terima kasih,
Alia Izzati