Monday 19 December 2016


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Lama saya memandang komputer riba, lama juga saya berfikir untuk menulis apa pada ruangan kali ini. Sesungguhnya, berat juga hati ingin menulis entri untuk kali terakhir. Berat hati ingin luahkan betapa rindunya pada kelas Penglahiran Bakat Kreatif.

Dr. Kamariah, walaupun ramai berkata Dr tegas, Dr melayan kami seperti anak-anak sendiri, mendidik kami untuk terus berjuang dalam penulisan, khasnya sastera Melayu.

Saya tidak petah untuk meluahkan perasaan saya namun, saya menghargai segala saat yang saya luangkan bersama rakan-rakan sekelas. Sedar atau tidak, mungkin ini kali terakhir untuk kami sekelas bersama. Selepas ini, kita berpisah mengikut aliran masing-masing. Kewartawanan, Penyiaran, dan sebagainya. Ada juga segelintir daripada kursus Sastera Bahasa Inggeris.

Penglahiran Bakat Kreatif, memberikan saya 1001 pengalaman dan memori. Saya pergi ke Cheras bersama rakan-rakan untuk menemu bual seorang penyair. Saya dan rakan-rakan juga menulis kertas kerja sehingga lewat pagi pukul 4-5 pagi, tertidur di dalam bilik akademik kolej. Saya berhempas pula mengerah idea mengarang cerpen dan puisi yang juga dibantu oleh rakan-rakan saya.

Mungkin di masa akan datang, saya lebih menguasai sastera Melayu. Terima kasih kerana memberikan markah yang pada saya, tidak lah selayak mana kerana yang menilainya, ialah seorang yang amat pakar dalam penulisan cerpen. Kan?

Penglahiran Bakat Kreatif, paling saya tidak akan lupa, pementasan yang kami cuba menyahut cabaran Dr. Biarpun, 2 minggu, kami berjaya. Pada mulanya, setiap seorang daripada kami merasakan kami takkan boleh buat sebaik mungkin. Kami tidak percaya pada diri sendiri. Terserah, menyerah.

Dr, terima kasih kerana memberikan kami cabaran untuk pementasan 'Oh Saat!". Jika tidak, saya tidak akan menangis menulis entri ini dek kerinduan melampau. Terima kasih kerana menyuruh kami membuat pementasan ini, jika tidak, mungkin tidak rapatlah ukhwah di antara kami. Ketika latihan, disitu lah saya mengenali rakan-rakan yang lain. Ketika latihan, di situlah kami makan bersama-sama nasi goreng pada pukul 10 malam ditemani nyamuk yang juga menghirup darah kehausan. Ketika latihan, di situlah terjalin silaturrahim di antara kami.

Terima kasih Dr,
terima kasih sahabat.

Sekian,
Alia Izzati



Aku mencari tempayan emas di kaki pelangi,
rupa-rupanya syurga kasih juga menanti di sini.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada entri kali ini saya ingin berkongsi pandangan saya tentang buku yang telah ditulis oleh pensyarah saya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr. Halis Azhan.

Syurga Kasih di Kaki Pelangi.

Erni Aflina, gadis anak angkat berhati tulus, hidupnya tidak pernah tenang kerana banyak liku-liku yang tidak terjangka terpaksa ditempuhi. Sejak kecil dia mengimpikan syurga kasih, sejak kecil juga dia mencari-cari tempayan emas di kaki pelangi. Segala-galanya tidak pernah indah buat Aflina. Sampai suatu masa, dia perlu minta diri. 

Izrar Hadafi, anak muda berhati luhur, hidupnya mewah tetapi tidak sarat dengan kasih sayang. Dia ingin menjadi Hang Jebat, dia akan membela apa-apa yang dirasakan benar. Segala-galanya tidak pernah elok di mata dan di hati Hadafi sehingga dia mengenali gadis itu. Namun, tidak mudah hendak mendekati dan memiliki hati Aflina.

Sepasang hati bertemu di hujung noktah. Titis-titis hujan menderu ketika fikiran keliru dan perasaan celaru. Siapa sangka di hujung jalan, Aflina menemui syurga kasih di kaki pelangi yang dicari-cari…

Ikutilah kisah pencarian gadis Erni Aflina yang mendebarkan ini.

Setiap manusia mempunyai minat yang berbeza-beza. Begitulah juga saya. Saya tidak gemar membaca novel, lebih tepat, yang fiksyen. Saya tidak gemar menonton televisyen, drama atau filem yang juga fiksyen. Saya seorang manusia yang lebih meminati sejarah, isu-isu terkini, cerita yang benar, ditulis atau diceritakan semula tentang kehidupan yang dialami seseorang.

Pada mulanya, memang beratlah hati ini untuk memulakan pengembaraan menyelami 296 helaian bercetak. Namun, saya tabahkan diri dan cuba untuk membaca. "Ya betul, Erni Aflina wujud. Izrar Hadafi juga wujud. Namun, saya tidak tahu mereka di mana."Sering kali, saya ingat kata-kata Dr. Halis bahawa watak-watak ini diadaptasi.

Ketika saya membaca novel ini, saya menyelami kehidupan seseorang. Betapa susah payahnya seseorang yang bernama Erni Aflina (bukan nama sebenar) hidup sebagai seorang anak angkat yang kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada kedua-dua ibu bapanya. Jujur saya katakan, novel ini mampu merefleksikan diri kita ketika mentelaah helaian. Betapa bersyukurnya saya, saya tidak ditempatkan di dalam kehidupan sebegini. Cukup makan, cukup pakaian. Itu sahaja yang saya fikir.

Di pengakhiran cerita, saya menitis air mata. Bukan apa, bukan disebabkan novel, bukan disebabkan plot peleraian. Namun, disebabkan saya juga ingin Erni Aflina yang sebenar hidup bahagia seperti di dalam plot peleraian. Saya ingin dia berhenti menanggung derita dan terseksa.

Erni Aflina, mungkin kau tidak akan mengetahui bahawa novel ini mengisahkan diri engkau tetapi saya harap semoga saudari tabah dalam kehidupan dan tidak terjerumus ke dunia kegelapan.

Sekian, terima kasih.
Alia Izzati

Sunday 4 December 2016




Salam,

Pada entri kali ini saya akan menceritakan serba sedikit apa yang telah saya perolehi daripada pertukaran kelas beberapa minggu yang lepas.

Pada minggu ke 11, Dr. Halis Azhan telah mengajar kelas kami dan kami didedahkan dengan sedikit sebanyak pengetahuan tentang novel. Dr. Halis Azhan juga menerangkan tentang sinopsis bukunya, Syurga Kasih di Kaki Pelangi. Kemudian, mengaitkan watak-watak, perwatakan mereka dan plot novel tersebut.

Beliau menerangkan tentang langkah-langkah penulisan. Antaranya ialah tentang 10 langkah penulisan menulis novel:

1. Memahami tujuan manuskrip novel remaja digarap
2. Mengenalpasti isu atau persoalan yang dapat dikaitkan dengan remaja
3. Mengenalpasti perubahan-perubahan yang berlaku di luar teks
4. Mengetahui struktur tema yang dipilih dapat dikatikan dengan remaja
5. Mengenali latar yang dipilih seperti masa, tempat dan kumpulan masyarakat
6. Mengenalpasti watak dan perwatakan remaja yang dihadirkan
7. Memahami sudut pandangan yang dipilih seperti siapa dan bagaimana
8. Mengenalpasti plot dan subplot yang dihadirkan
9. Mengetahui laras bahasa yang sesuai dalam aspirasi remaja dalam novel
10. Mengasosialkan nilai-nilai sosial yang sesuai dengan aspirasi remaja dalam novel

Kelas selama 3 jam itu digunakan sebaik mungkin oleh Dr. Halis bagi menerangkan tentang novel ini. Saya amat terkejut apabila mengetahui bahawa Dr, juga merupakan pelajar Asasi TESL UiTM suatu ketika dahulu. Saya kagum dengan pengetahuan bahasa Melayu nya yang tinggi.

Di akhir kelas Dr, Dr menceritakan tentang bagaimana beliau mendapat sumber inspirasi untuk menulis novel ini. Saya tidak akan melupakan apa yang diceritakan beliau. Saya harap Dr. dapat berjumpa dengan perempuan itu yang telah beliau memberikan impiannya tercapai walaupun hanya dalam sebuah penulisan.

Sekian,
Alia Izzati




Salam,

Hampir 5 minit saya menatap komputer riba, tidak tahu ingin menulis apa pada entri kali ini. Disebabkan kriteria entri yang terbatas, saya kehilangan idea pada minggu ini. Setiap kali saya ingin tulis entri, saya akan kehilangan segala idea kerana saya tidak mahir untuk menulis di dalam Bahasa Melayu. Namun, saya ingin cuba dan saya amat tertarik untuk menulis travelog perjalanan.

Travelog ini bukan sebarang travelog. Travelog ini merangkumi segala detik kehidupan saya setelah saya melangkah masuk Universiti Putra Malaysia yang terletak di Serdang.

31 Ogos 2016

Tarikh yang begitu bersejarah dalam hidup saya kerana saya memulakan kehidupan baru sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda. Ingat lagi, saya membuka mata bangun daripada tidur, mengeluh. Bayangkan, rakyat jelata menyambut kemerdekaan di luar sana begitu gembira, pelajar sekolah keriangan bercuti. Namun, saya harus memasuki universiti baru.

Saya tinggal di Bukit Jalil yang terletak dekat sahaja dengan UPM. Kami sekeluarga bertolak awal sebab saya sudahpun berjanji dengan dua rakan saya iaitu Ying dan Hareith untuk bertemu (Mana tahu dapat bilik yang sama, kecuali Hareith). Sesudah sampai, saya sesat mencari Ying yang tidak kelihatan. Dia memanggil saya dari jauh di pagar Kolej 14. Saya berlari kearahnya, memeluk kerinduan. 3 bulan lebih kami tidak bertemu sejak meninggalkan Asasi TESL di UiTM Dengkil.

Seperti biasa kami pun mendaftar dan menjadi pelajar rasmi UPM. Orientasi bermula.

Sekitar September 2016

Kehidupan saya banyak berubah sejak masuk UPM. Namun, saya kuatkan diri untuk mengharungi segala dugaan yang saya hadapi. Saya juga bersyukur sebab ada kawan seperti Ying yang sentiasa berada di sisi saya ketika saya susah dan senang.

Semasa orientasi, saya mengenali dua lagi kawan saya iaitu Diana dan Izaz! Saya kenal Izaz setelah balik daripada latihan ikrar pelajar, Keletihan, saya memasuki Dewan PJSD dan Izaz sedang bersembang dengan Ying. Ying memperkenalkan Izaz dan terus pada masa itu saya rasa gembira mempunyai rakan baru. Izaz! (Saya terkejut dia bukan 19 tahun)

Hari seterusnya, kami harus pergi ke Padang Kawad untuk perlawanan sorak. Di situ, perjalanan persahabatan saya dengan Diana bermula.

Tujuan saya ceritakan semua ini adalah untuk mengabadikan nama-nama mereka di dalam entri saya kerana saya rasa mereka adalah amat penting dalam hidup saya.

Sekitar Kuliah Bermula

Jujur saya katakan, saya amat rindu akan minggu orientasi. Kami hanya gelak tawa sahaja ketika itu. Saya rasa susah dan letih apabila kuliah bermula, mungkin saya tidak pandai lagi menyesuaikan diri saya dengan kehidupan baru.

Sekian,
Alia Izzati