Monday 19 December 2016

BBK3410: SYURGA KASIH DI KAKI PELANGI



Aku mencari tempayan emas di kaki pelangi,
rupa-rupanya syurga kasih juga menanti di sini.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada entri kali ini saya ingin berkongsi pandangan saya tentang buku yang telah ditulis oleh pensyarah saya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr. Halis Azhan.

Syurga Kasih di Kaki Pelangi.

Erni Aflina, gadis anak angkat berhati tulus, hidupnya tidak pernah tenang kerana banyak liku-liku yang tidak terjangka terpaksa ditempuhi. Sejak kecil dia mengimpikan syurga kasih, sejak kecil juga dia mencari-cari tempayan emas di kaki pelangi. Segala-galanya tidak pernah indah buat Aflina. Sampai suatu masa, dia perlu minta diri. 

Izrar Hadafi, anak muda berhati luhur, hidupnya mewah tetapi tidak sarat dengan kasih sayang. Dia ingin menjadi Hang Jebat, dia akan membela apa-apa yang dirasakan benar. Segala-galanya tidak pernah elok di mata dan di hati Hadafi sehingga dia mengenali gadis itu. Namun, tidak mudah hendak mendekati dan memiliki hati Aflina.

Sepasang hati bertemu di hujung noktah. Titis-titis hujan menderu ketika fikiran keliru dan perasaan celaru. Siapa sangka di hujung jalan, Aflina menemui syurga kasih di kaki pelangi yang dicari-cari…

Ikutilah kisah pencarian gadis Erni Aflina yang mendebarkan ini.

Setiap manusia mempunyai minat yang berbeza-beza. Begitulah juga saya. Saya tidak gemar membaca novel, lebih tepat, yang fiksyen. Saya tidak gemar menonton televisyen, drama atau filem yang juga fiksyen. Saya seorang manusia yang lebih meminati sejarah, isu-isu terkini, cerita yang benar, ditulis atau diceritakan semula tentang kehidupan yang dialami seseorang.

Pada mulanya, memang beratlah hati ini untuk memulakan pengembaraan menyelami 296 helaian bercetak. Namun, saya tabahkan diri dan cuba untuk membaca. "Ya betul, Erni Aflina wujud. Izrar Hadafi juga wujud. Namun, saya tidak tahu mereka di mana."Sering kali, saya ingat kata-kata Dr. Halis bahawa watak-watak ini diadaptasi.

Ketika saya membaca novel ini, saya menyelami kehidupan seseorang. Betapa susah payahnya seseorang yang bernama Erni Aflina (bukan nama sebenar) hidup sebagai seorang anak angkat yang kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada kedua-dua ibu bapanya. Jujur saya katakan, novel ini mampu merefleksikan diri kita ketika mentelaah helaian. Betapa bersyukurnya saya, saya tidak ditempatkan di dalam kehidupan sebegini. Cukup makan, cukup pakaian. Itu sahaja yang saya fikir.

Di pengakhiran cerita, saya menitis air mata. Bukan apa, bukan disebabkan novel, bukan disebabkan plot peleraian. Namun, disebabkan saya juga ingin Erni Aflina yang sebenar hidup bahagia seperti di dalam plot peleraian. Saya ingin dia berhenti menanggung derita dan terseksa.

Erni Aflina, mungkin kau tidak akan mengetahui bahawa novel ini mengisahkan diri engkau tetapi saya harap semoga saudari tabah dalam kehidupan dan tidak terjerumus ke dunia kegelapan.

Sekian, terima kasih.
Alia Izzati

2 comments: